‘Saya pasrah andai berpisah’Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.myKUALA
LUMPUR: “Saya pasrah apa yang berlaku sama ada bersama semula atau
berpisah dengan Abby,” kata Norman Hakim atau Mohamed Nurhakim Zaidon,
32, yang ditemui selepas menunaikan solat Hajat dan Istikarah di Masjid
Nur Hidayah Kampung Pandan di sini, malam tadi.
Katanya, lebih baik dia mengambil sikap bertenang sekarang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Ini
kerana pelakon yang terkenal dengan watak pegawai polis dalam drama
Gerak Khas itu tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan berikutan ada
segelintir pihak cuba menangguk di air keruh.
Ditanya
perasaannya terhadap isteri dan anak, kata Norman, dia masih menyayangi
keluarganya dan berharap rumah tangganya dapat dipertahankan.
Malah,
menurutnya, dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga
termasuk tetap membayar bil elektrik dan air serta membiayai
persekolahan anak.
“Masih ada kasih sayang saya pada anak dan
isteri. Masa solat tadi terbayang anak sulung yang selalu azan. Saya
pentingkan masa depan mereka tidak kira apa yang berlaku
nanti...bersatu atau berpisah.
“Kebajikan mereka tidak akan
terabai. Siapa yang tak sayangkan anak. Kali terakhir saya berjumpa
dengan mereka ketika majlis cukur jambul anak bongsu saya selepas hari
raya lalu,” katanya.
Dia juga tidak mahu mengulas panjang isu
rumah tangganya bersama Abby kerana boleh menjadi ruang perbalahan dan
tiada jalan penyelesaian.
“Saya nak cari jalan penyelesaian...saya perlukan ruang untuk cari petunjuk arah bagi selesaikannya.
“Berikan saya ruang...biarlah saya cari jalan penyelesaian terlebih dulu sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.
Norman ternyata tidak mengetahui bila dapat menyelesaikan masalah terbabit dengan menyerahkannya kepada Allah s.w.t.
Bagaimanapun, baginya, apa yang penting kawan dan ahli keluarga tetap memberi sokongan.
“Saya
tidak boleh salahkan sesiapa sama ada berkaitan kes khalwat atau
masalah rumah tangga. Perkara sudah terjadi...saya perlu pertahankan
diri saya.
“Apatah lagi isteri saya dalam keadaan emosi yang
menebal, biarlah dia reda dulu...dalam keadaan pelbagai spekulasi dan
andaian, saya nampak ia bukan platform untuk berbalas kenyataan kerana
akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya memohon kepada Allah s.w.t
supaya menyelamatkan rumah tangga kami...apa gerak hati yang terbaik
itulah yang datang daripada Yang Maha Esa,” katanya yang lega dapat
melakukan solat hajat dan Istikarah bagi memperoleh petunjuk untuk
menyelesaikan masalah dihadapinya.
Norman berkata, dia memohon
petunjuk kerana jika jalan terbaik ke arah penyelesaian itu ialah
berpisah, dia bersedia menerimanya.
Dia seterusnya menafikan sudah mengahwini Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.
Perkara
itu turut disahkan abangnya, Mohd Sophee Zaidon, 44, dan sepupu Norman,
Razin Abdul Razak, 43, yang turut berada di masjid berkenaan.
“Saya
belum mengahwini Memey, itu semua spekulasi dan saya tak pernah kahwin
dan tak pernah hantar borang nikah. Segala-galanya tidak benar.
“Saya
tidak mahu cakap apa-apa, nanti akan bangkitkan gelodak emosi daripada
pihak Abby,” katanya yang terkejut dengan kehadiran media di masjid itu.
Norman yang memakai baju Melayu putih dan berkain pelekat kelihatan tenang ketika menjawab soalan diajukan wartawan.
“Saya
tidak sangka media akan datang ke sini...nanti apa pula anggapan
masyarakat terhadap saya, sampai sembahyang pun nak panggil media,”
katanya.
Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman
dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3
dan Maria Danisha Hakim, lebih sebulan.